CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, August 10, 2009

12 KAEDAH PENYUBURAN IMAN..:)

SALAM CERIA BUAT SEMUA.....
ARTIKEL SUMBANGAN SHAREENA.....



Di bawah ini disenaraikan beberapa langkah untuk meningkatan iman dan menyegarkan kembali komitment kita kepada Islam ; seperti yang disarankan oleh Syeikh Fathi Yakan dalam buku beliau yang berjodol: “Klinik Dakwah “.

Saranan tersebut telah ditokok tambah oleh Ustaz Abdul Hamid al Kibti hingga menjadi 12 agenda. Iaitu:

1.Melaksanakan2 raka’at sunat nawafil ; iaitu 2 sebelum fajar , 4 sebelum zohor dan 2 raka’at selepas zohor, 2 raka’at selepas maghrib, 2 raka’at selepas isya’.

Natijah yang di harapkan ialah: Allah akan membinakan untuk kita yang terus menerus melaksanakan amalan berkenaan dengan sebuah rumah di syurga..

Dalilnya ialah sabda Rasulullah.S.A.W. :

“من صلَّى في يومٍ اثنتي عشرة سجدة، تطوُّعا، بني له بيتٌ في الجنَّة"
(رواه مسلم)

“Siapa yang menunaikan saban hari 12 raka’at solat sunat secara sukarela nescaya dibinakan untuknya ( oleh Allah) sebuah rumah di syurga.


2 Menunaikan dua raka’at solat sunat tiap malam.

Natijah yang di harapkan ialah: Doa dimakbulkan , dosa terampun dan hajat disempurnakan.
Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

"يتنزَّل ربُّنا تبارك وتعالى كلَّ ليلةٍ إلى السماء الدنيا، حين يبقى ثلث الليل الآخر، يقول: من يدعوني فأستجيب له، من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له" رواه البخاري


”Tuhan kita S. W. T. turun ke langit dunia setiap malam apabila tinggal sepertiga malam. Allah berfirman : Siapakah gerangan yang berdoa kepada Ku untuk aku makbulkan doanya. Siapa pula yang memohon sesuatu untuk Aku berikan permohonannya. Siapa pula yang memohon istighfar kepada Ku untuk Aku ampunkan (dosanya).”


3. Menunaikan solat Dhuha dua, atau empat, atau lapan raka’at.

Natijah yang di harapkan ialah: Terlaksananya penunaian sedekah bagi tiap siku atau sendi sendi tulang belulang kita.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

“يصبح على كلِّ سلامي من أحدكم صدقة، فكلُّ تسبيحه صدقة، وكلُّ تحميده صدقة، وكلُّ تهليله صدقة، وكلُّ تكبيرةٍ صدقة، وأمرٌ بالمعروف صدقة، ونهيٌ عن المنكر صدقة، ويجزئ من ذلك، ركعتان يركعهما من الضحى" (رواه مسلم، وروى البخاريُّ جزءاً منه


Setiap siku dan sendi tulang belulang anak Adam wajib dikeluarkan sedekahnya. (Untuk pengetahuan anda ) Setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah , setiap takbir sedekah,amr makruf sedekah, nahi ’anil munkar merupakan sedekah. Namun tanggungjawab mengeluarkan sedekah untuk sendi-sendi itu boleh dijelaskan dengan penunaian dua raka’at sembahyang dhuha.”


4. Mengamalkan bacaan Surah al- Mulk (Tabarak)


Natijah yang di harapkan ialah: Terselamat dari seksa kubur
Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

"إنَّ سورةً من القرآن ثلاثون آية، شفعت لرجلٍ حتى غُفِر له، وهي "تبارك الذي بيده الملك"" رواه الترمذيُّ وأحمد، وقال الترمذيّ: هذا حديثٌ حسن.

(Dalam al Quran ) terdapat satu surah yang mengandungi tiga puluh ayat . Surah ( dan ayat ) ini akan terus menerus memohon syafaat sehinggalah (pengamalnya) diampunkan (dosanya). Ayat tersebut ialah :

"تبارك الذي بيده الملك""


5. mengamalkan budaya menyebut :


"لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كلِّ شيءٍ قدير".

”Tiada tuhan kecuali Allah semata-mata. Tidak ada sekutu baginya. Allah memiliki kerajaan alam buana dan bagiNya segala tahmid (puji). Allah maha berkuasa berbuat apa sahaja.”

Natijah yang di harapkan ialah: Perbuatan tersebut menyamai pembebasan sepuluh orang hamba, dituliskan untuk pelakunya seratus pahala kebaikan. Dihapuskan untuknya seratus kejahatan dosa. Amalan itujuga menjadi pendinding dari syaitan.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

"من قال لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كلِّ شيءٍ قدير، في يومٍ مائة مرَّة، كانت له عدل عشر رقاب، وكتبت له مائة حسنة، ومحيت عنه مائة سيِّئة، وكانت له حرزاً من الشيطان يومه ذلك حتى يمسي، ولم يأت أحدٌ بأفضل ممَّا جاء به، إلا أحدٌ عمل أكثر من ذلك" (رواه مسلم).

”Siapa yang menyebut-nyebut: Tiada tuhan kecuali Allah semata-mata. Tiada sekutu bagiNya. Segala kerajaan dan pujian untukNya. Dia maha berkuasa untuk berbuat apa sahaja - sebanyak seratus kali maka perbuatan itu ibarat membebaskan sepuluh orang hamba sahaya. Akan dituliskan untuk (pembaca)nya seratus pahala kebaikan dan dihapuskan baginya seratus dosa kejahatan. Bacaan tersebut akan terus menjadi pendidingnya dari (gangguan) syaitan dari pagi hari hinggalah ke petangnya. Tidak ada sesiapa yang boleh menampilkan kebaikan yang lebih afdhal dari itu kecuali orang yang membaca bacaan itu lebih banyak daripadanya.”


6 Membaca selawat Nabi seratus kali.

Natijah yang di harapkan ialah: Tersisihnya diri dari sifat bakhil dan mendapat restu serta rahmat Alllah S.W.T.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

"فإنَّه من صلَّى عليَّ صلاةً صلَّى الله عليه بها عشرا" (رواه مسلم). وقوله : "البخيلُ الذي منْ ذُكِرت عنده فلم يصلِّ عليّ" (رواه الترمذيّ، وقال: هذا حديثٌ حسنٌ غريبٌ صحيح ).


“Siapa yang mengucapkan selawat untuk ku dengan satu selawat nescaya dibalas Allah baginya sepuluh restu dan rahmat. (Hadith riwayat Muslim) dan Hadith : “Orang yang bakhil itu ialah orang yang apabila disebut (di hadapannya) nama ku ia sedikitpun tidak berselawat untuk ku.” (riwayat Termizi )


7.Mengamalkan bacaan :

"سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم"

Sebanyak seratus kali .

Natijah yang di harapkan ialah: akan ditanamkan untuknya seratus batang pohon kurma di syurga.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

"من قال سبحان الله العظيم وبحمده غُرِست له نخلةٌ في الجنَّة"رواه الترمذيّ، وقال: حديثٌ حسنٌ غريب.

“Siapa yang menyebut : Maha suci Allah dan segala tahmid bagi Allah yang Maha Agong; nescaya ditanamkan untuk pohon kurma di syurga. (Hadith riwayat Termizi)


8. Menyebut “Istighfar “ seratus kali

Natijah yang di harapkan ialah: Allah akan hilangkan segala kerunsingannya dan murahkan reskinya.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

"من لزم الاستغفار جعل الله له من كلِّ ضيقٍ مخرجا، ومن كلِّ همٍّ فرجا، ورَزَقه من حيث لا يحتسب"رواه أبو داود وابن ماجه والحاكم بسندٍ صحيح.

“Siapa yang mengamalkan secara berterusan “istighfar” nescaya Allah lepaskan dia dari segala kesulitan, Allah hilangkan kerunsingan hatinya. Allah beri dia rezeki dari sumber yang dia tidak menyangkanya sama sekali. ( Hadith riwayat Abu Daud).


9. Melazimkan diri dengan pembacaan wirid al Quran, satu juz atau satu Hizb.

Natijah yang di harapkan ialah: Dapat meraih kebaikan dan penggandaan pahala serta mendapat ketenangan jiwa.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah S. A. W. :

" من قرأ حرفا من كتاب الله فله به حسنة والحسنة بعشر أمثالها لا أقول ألم حرف ولكن ألف حرف ولام حرف وميم حرف" (رواه الترمذي ). وقال تعالى : " الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ" (الرعد: 28 ) .

“Siapa jua yang membaca satu huruf dari al Quran maka nescaya Allah akan memberikan satu pahala kebaikan dan pahala itu akan digandakan pula menjadi sepuluh kali ganda. Saya tidak maksudkan satu huruf itu ialah ialah perkataan ألم . Tapi sebaliknya Alif dikira satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. Allah berfirman : “Orang yang beriman itu hati mereka akan tenang bila menyebut nama Allah. Memang dengan menyebut nama Allah lah hati-hati (manusia ) akan menjadi tenang. (Surah al –Ra’d :28)


10 Memperuntukkan masa walau sekelumit untuk memanjatkan doa munajat dan rintihan pilu kepada Allah S. W. T. setiap hari.

Natijah yang di harapkan ialah: Untuk meningkatkan kekuatan batin dan rohani yang boleh membantu sesorang menghadapi cabaran hidup, mengukuhkan sandaran diri kepada yang Maha kuat dan gagah , meringankan keresahan jiwa di samping memohon kemantapan langkah dalam perjuangan..

Dalilnya ialah firman Allah S.W.T.:

" أمن يجيب المضطر إذا دعاه ويكشف السوء " (النمل: 62 ). وقوله سبحانه : "وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ " (البقرة : 186) .

“Siapakah gerangan (selain Allah) yang menyahut seruan orang yang terdesak dan yang dapat menghindarkan mereka dari kecelakaan.” (Surah Al Naml :62)

“ Seandainya para hambaKu bertanya tentangKu (maka katakanlah) Aku ini sangat hampir kepada mereka; Aku sentiasa menyahut seruan orang yang menyeru dan berdoa kepadaKu. Oleh itu hendaklah mereka menyahut panggilanKu dan beriman kepadaKu . Mudah-mudahan (dengan itu) mereka menjadi manusia yang waras.” (Surah al-Baqarah:186)


11. Mengamalkan setiap hari di waktu pagi dan petang bacaan zikir al Ma’thurat.

Natijah yang di harapkan ialah: Untuk menghayati dengan penuh semangat akan segala makna dan nilai-nilai suci yang terkandung dalam seluruh sebutan suci dan mulia yang tertera dalam zikir berkenaan . Ini juga bertujuan untuk memantapkan diri dengan saranan dan arahan mulia yang tersirat dalam bacaan tersebut.

Dalilnya ialah firman Allah S.W.T.

فَاصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِالْعَشِيِّ وَالإبْكَارِ" (غافر:55) .

Maka bersabarlah ; sesungguhnya janji Allah itu memang benar adanya. (Di samping itu) beristighfarlah (kepada Allah) memohon ampun kepadaNya terhadap dosamu seraya bertasbih dan bertahmid memuji (kebesaran) tuhanmu setiap pagi dan petang. (Ghafir:55)


12.Elakkan bermalas-malas; sebaliknya hiduplah dengan semangat persaudaraan yang positif dan bergaul dengan orang ramai dengan akhlak yang baik , mantapkan persaudaraan dengan orang lain dengan sopan santun dan budipekerti yang mulia.


Natijah yang di harapkan ialah: dengan semangat pergaulan yang baik itu dapat kita menerapkan buah dari hasil keimanan yang positif dengan berkongsi pengalaman yang baik dan manis dengan orang lain. Jadi penghayatan rohaniah itu dirasakan juga oleh orang lain dan bukan hanya sekadar ulangan sebutan wirid dan zikir di bibir sahaja .

Dalilnya ialah firman Allah S.W.T.

" وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ "(التوبة :71).

“Orang-orang mukmin lelaki dan perempuan ; mereka itu sesama sendiri adalah saling bantu membantu (satu sama lain); mereka saling menyuruh (orang lain) berbuat baik dan saling menegah (orang lain) dari (melakukan) kemunkaran. Mereka menunaikan solat , mengeluarkan zakat, mematuhi Allah dan RasulNya. Golongan itu bakal dirahmati oleh Allah . Sesungguhnya Allah maha perkasa lagi maha bijaksana.”

Sabda Rasulullah:

" لا تحقرن من المعروف شيئاً ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق" . رواه مسلم ، وقال صلى الله عليه وسلم قال: " اتق الله حيثما كنت ، وأَتْبِعِ السَّيئةَ الحسنةَ تَمْحُها ، وخالقِ الناسَ بخُلُقٍ حسنٍ " (رواه الترمذي).

“Jangan anda memandang ringan kepada sesuatu amalan kebaikan , walaupun sekadar bertemu sahabat dengan wajah yang ceria.” (Riwayat Muslim) .

Sabda baginda lagi:

“Bertakwalah kepada Allah di mana jua anda berada, ikuti keburukan dengan perbuatan kebaikan yang boleh menghapuskan (kesan)nya , bergaullah dengan orang ramai dengan akhlak yang baik.” (Riwayat Termizi).

Semoga dengan melaksanakan 12 bentuk amalan ini kita akan lebih dirahmati dan dikasihi oleh Allah Azza Wajalla.
Ya Allah kasihanilah kami dan ampunkan dosa kami dan dosa ibu bapa kami.!

credit to : akh nazmi

yang baik semuanya hikmah dari ALlah,Tuhanku,dan TuhanMu,Pentadbir sekalian alam..

secebis perkongsian


al-kandahlawi
Teratak An-Nushrah

www.pembinamelaka.com
www.iumelaka.com

No comments: